Sabtu, 22 September 2012

Puyuh dengan Helang

Bijak pandai kita pernah mengarang
Ketinggian pokok, hanya diketahui helang
Puyuh tidak mampu terbang, hanya tahu dalamnya hutan
Ilmuwan palsu seperti puyuh di puncak Meranti bertanya helang:
“Kenapa kau bersusah payah membina sarang di atas awan?
Lebih mudah membina rumah di celah semak di atas tanah.”
Helang senyum menjawab senang, tidak gelabah:
“Mataku nan tajam diamanah menjaga alam
Daripada tikus, ular dan perosak sekalian.”


Ilmuwan tiruan seperti puyuh mencuri paruh dan sayap helang
Ijazah berjela, kajian merata, kerusi diduduki tidak terbilang,
Bagi penguasa dan pentadbir yang dilatih mereka semua
Ilmuwan sebegini hanya menjaja nama dan mengulangi kata.


Wahai temanku sekalian
Janganlah menjadi ilmuwan palsu tiruan
Syukurilah nikmat Tuhan,  redalah pada-Nya
Jika takdirmu seekor puyuh, lakukan tugasmu patuh setia
Biarlah helang terbang bebas menjaga padang dan taman
Kerana hasadlah iblis Khalid di neraka jahannam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Terima Kasih Telah Berkomentar;