Sabtu, 22 September 2012

Mustafa Kemal Ataturk


Kejayaan besarmu di medan perang, malang
Menjadi pendorong kegagalanmu di lain bidang
Kau berjaya menjaga kesatuan, menghalau musuh luaran
Kau gagal mengukuh bangsa, menggali khazanah dalaman

Mustafa Kemal, kau tersilap besar menganggap kekuatan Barat
Berdasarkan peluru bedil, kereta kebal, tali leher, membuka aurat
Huruf Latin, kau duga, membantu Eropah menjadi kuat
Lalu kau memaksa rakyat menolak lisan Uthmani, berteras Arab
Berjuta lampu di Sulaymaniyyah dan segenap tempat menjadi gelap
Dalam satu hari kau padamkan cahaya hasilan ilmu puluhan abad


Setelah seratus tahun Kemalisme memaksa bangsa meniru orang
Negaramu, walau Eropah dalam pakaian, kebebasan, perundangan,
Namun mereka enggan terima rayuan bangsamu masuk ke dalam
Walau jutaan rakyatmu menyapu jalan di Frankfurt, dan Leiden.
Hajji Baba, Baklava, Kebab Turki begitu laris di kota Paris
Barat masih menganggap bangsama tidak sama, tidak sebaris

Tidakkah kau ingat pesanan Rabbul Jalil bahawa
Yahudi dan kaum Nasara
Tidak akan sekali-kali redha
Dan akan terus mencari helah, buat angkara
Selagi kau enggan menuruti millah mereka

Dan jika kau mengikuti ke lubang biawak, ke sarang lebah
Kau sebenarnya sudah lama menyerah kalah
Lagipun millah mereka sering berubah
Tiada sesuatupun kekal, kecuali nafsu memerintah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Terima Kasih Telah Berkomentar;